SEREMBAN, 15 Feb – Kaji…. Pihak Polis sedang mengkaji keperluan tambahan yang diperlukan untuk mempertingkatkan tahap keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Ini berikutan kejadian abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un, dibunuh menggunakan racun ketika sedang menunggu di balai pelepasan klia2, Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah, berkata pihaknya memang memberi perhatian terhadap perkara itu yang kini sedang dinilai oleh Polis Selangor.

Bagaimanapun, katanya tahap keselamatan di klia2 bukan hanya bergantung kepada jumlah anggota polis yang bertugas, tetapi turut dipengaruhi pelbagai faktor lain.

“Bukan kata lebih ramai anggota, lebih baik keselamatan. Kita perlu melihat bentuk penugasan yang diatur dan teknologi moden yang boleh kita gunakan,” katanya selepas majlis penyerahan sebuah van dan dua buah skuter untuk kegunaan polis oleh IJM Land Bhd di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, polis akan melihat secara menyeluruh aspek yang boleh diperbaiki di klia2 kerana itu mempunyai pengajaran yang boleh dipelajari.

“Kita hendak melihat apa lagi bentuk tindakan yang wajar diambil bagi mengurangkan risiko. Saya tidak kata apa juga tindakan dibuat, 100 peratus tidak akan berlaku apa-apa lagi. Lebih penting, kita kena tahu cara mengurangkan risiko perkara begini,” katanya. – WD MY