JOHOR BAHRU, 23 Mac – Kesan…. Pihak Polis sedang mengesan dalang di sebalik kejadian seorang individu dikatakan mengalami masalah mental yang menceroboh kawasan Istana Besar di sini, Jumaat lalu kata┬áKetua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

Pihaknya ketika ini sedang giat menjalankan siasatan dan percaya dapat memberkas dalang di sebalik kejadian itu dalam tempoh terdekat.

“Ekoran kejadian itu, polis sedang menyiasat untuk mengesan siapa dalang yang mempergunakan orang yang mempunyai masalah mental untuk melakukan pencerobohan dan akan membawa mereka ke muka pengadilan.

“Kawasan istana adalah kawasan larangan yang tertakluk mengikut Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959, yang memperuntukkan hukuman hingga dua tahun penjara atau denda RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Wan Ahmad Najmuddin berkata, penganggur yang ditahan selepas dipercayai membaling bom petrol ke arah pintu Istana Besar di sini, Jumaat lalu tidak mengaku bersalah selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, Isnin lalu.

“Tertuduh tidak mengaku bersalah dan masih ditahan reman bagi menunggu proses perbicaraan di mahkamah,” katanya. – WD MY