KUALA LUMPUR, 3 JUN – TAHAN…… 13 warga Afrika adalah antara 62 warga asing yang ditahan di sekitar Kuala Lumpur, sepanjang Operasi Bersepadu Warga Asing yang diadakan sejak Jumaat hingga awal pagi semalam.

Operasi dilakukan oleh 177 pegawai dan anggota Polis Kuala Lumpur dibantu lima pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang diadakan sekitar Changkat Bukit Bintang; Endah Promenade, Sri Petaling; Pangsapuri Connaught, Cheras; Jalan Danau Niaga, Setapak; Metro Prima Kepong dan Kepong Baru.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata dalam operasi sama pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas 136 warga asing di semua enam lokasi sasaran.

“Seramai enam lelaki warga Somalia, empat wanita warga Zambia, dua wanita Uganda serta seorang lelaki warga Kenya adalah warga Afrika yang ditahan dalam operasi ini.

“Turut ditahan adalah 14 lelaki warga Bangladesh, 12 lelaki dan seorang wanita Myanmar, sembilan lelaki India, lima wanita dan seorang lelaki Thailand, empat lelaki Pakistan serta masing-masing seorang lelaki warga Nepal, Vietnam dan Laos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mazlan berkata siasatan dilakukan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah dan akta-akta yang berkaitan.

Katanya, semua tangkapan dibawa ke Lokap Cheras dan Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Polis Kuala Lumpur memandang serius isu kebanjiran warga asing terutamanya warga Afrika yang menyumbang ke arah kejadian jenayah berlaku di negara ini.

“Operasi seumpama ini akan diteruskan bagi membanteras permasalahan kebanjiran warga asing sekali gus berusaha menurunkan kadar jenayah yang disebabkan oleh warga asing,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – WD MY