KUALA LUMPUR, 28 FEB – TAHAN…. Pihak Polis terpaksa melepaskan tembakan dalam cubaan menahan dua lelaki selepas mereka enggan memberhentikan kenderaan dan cuba melanggar anggota dalam insiden di Jalan Gombak, dekat sini, petang semalam.

Kejadian bermula kira-kira jam 5.15 petang ketika anggota MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju yang membuat rondaan Op Rentap Khas terlihat sebuah kereta jenis PROTON Persona dipandu dalam keadaan mencurigakan ketika tiba di lampu isyarat Jalan Gombak.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata anggota mengarahkan suspek berhenti namun mereka enggan sebaliknya terus menghimpit dan melanggar bahagian hadapan MPV.

Katanya, anggota kemudian menghidupkan siren dan mengejar suspek.

“Ketika kejar mengejar, suspek melanggar penunggang motosikal dan lima kenderaan lain.

“Suspek berpatah balik melawan arus di Jalan Gombak dan terus masuk ke Kampung Lee Kong Chengz. Suspek membrek dan mengundurkan kenderaan ke belakang lalu melanggar bahagian hadapan MPV polis.

“Apabila sampai di hadapan sebuah rumah di Kampung Lee Kong Cheng, suspek memasuki jalan mati dan cuba melanggar anggota polis yang turun untuk menahannya,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Mazlan berkata, dalam keadaan itu anggota terpaksa melepaskan tembakan amaran ke udara serta tayar kenderaan suspek bagi memberhentikan kenderaan terbabit dari melanggar anggota dan MPV polis.

“Kedua-dua suspek, berusia lingkungan 33 hingga 37 tahun ditahan dan semakan mendapati mereka mempunyai rekod dikehendaki polis berhubung kes dadah,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh dan menghalang tugas penjawat awam. – WD MY