TAWAU, 25 Julai – GAGALKAN….. Tindakan Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan seorang juragan warga Indonesia membawa keluar pelbagai barangan secara haram di kawasan perairan Tanjung Saima, di sini, petang semalam.

Lelaki berumur 33 tahun itu ditahan ketika membawa barangan berkenaan keluar dari daerah ini, dipercayai melalui Pelabuhan Tawau menuju ke Sungai Nyamuk, Indonesia, pada jam 6.20 petang.

Komander PPM Wilayah Empat, Asisten Komisioner Mohd Yazib Abdul Aziz, berkata pemeriksaan mendapati barangan terbabit tidak memiliki sebarang kelulusan atau kebenaran daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Antara barangan yang dirampas termasuk 234 kilogram (kg) daging beku, 130kg ayam beku dan 39 bungkus daging burger jenama tempatan.

“Turut dirampas ialah 39 helai karpet dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM24,062,” katanya hari ini.

Mohd Yazib berkata, suspek bersama barang rampasan dibawa ke pangkalan PPM Tawau untuk tindakan selanjutnya dan kes akan disiasat mengikut Akta Kastam 1967. – WD MY