SEPANG, 24 Nov – Kukuh….. Pihak Polis ada bukti kukuh untuk menahan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang ditemui ketika menggeledah pejabat Bersih pada 18 November lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Maria melakukan aktiviti yang memudaratkan kepada demokrasi berparlimen di bawah Seksyen 124(c) Kanun Keseksaan, dan kemudian ditahan di bawah SOSMA.

Khalid berkata, polis akan mengambil masa 28 hari untuk menahan Maria di bawah akta itu bagi menjalankan siasatan melalui dokumen yang dijumpai dan beliau juga pernah mengaku menerima dana daripada Open Society Foundation (OSF) milik George Soros yang boleh menggugat keamanan dan keselamatan  negara.

“Banyak pihak yang memberikan penjelasan mengelirukan berkaitan Akta SOSMA ini dan ia bukan hanya kepada pengganas sahaja, malah boleh digunakan kepada  aktiviti jenayah terancang serta pemerdagangan manusia,” katanya.

Khalid berkata, pihaknya juga menafikan tuduhan memberi layanan buruk  kepada Maria, sebaliknya beliau diberi layanan sama seperti tahanan lain mengikut prosedur undang-undang lokap.

Katanya, baru-baru ini, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) melawat Maria dan meminta beliau diberikan tilam, dan polis memenuhi permintaan itu.

“Maria juga diberikan rawatan doktor sebanyak tiga kali setakat ini, termasuk diberikan ubat-ubatan dan pihak penjara juga mempunyai doktor yang ditugaskan bekerja  24 jam,” katanya.

Khalid berkata, polis sudah menerima 15 laporan berkaitan perhimpunan Bersih setakat ini serta bantuan dari luar dan pihaknya akan menyiasat sama ada Bersih mewakili pertubuhan ataupun syarikat. – WD MY