PORT DICKSON, 6 Feb – MERCUN……. Lelaki berusia 40 tahun ditahan polis berikutan memiliki pelbagai jenis mercun di tepi jalan di Pekan Lukut semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Zainudin Ahmad, berkata pihaknya yang sedang menjalankan Ops Limau, mendapati suspek berkeadaan mencurigakan di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Pemeriksaan dilakukan menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api di dalam bonet kenderaan terbabit.

“Hasil soal siasat mendapati lelaki itu datang dari Rantau, Seremban untuk menjual mercun di Lukut.

“Ujian air kencing ke atasnya mendapati positif dadah. Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson untuk tindakan lanjut,” katanya.

Zainudin berkata, semua bahan letupan bernilai RM4,000 dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1967. – WD MY