SEPANG, 24 Julai – Polis akan merujuk Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan
akses merakam kenyataan bekas eksekutif PetroSaudi International
Xavier Andre Justo, berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang kini
ditahan di Thailand.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata beliau dimaklumkan oleh
rakan sejawatnya Jen Somyot Poopanmoung bahawa tiada temu bual boleh dilakukan
sehingga warga Switzerland itu didakwa di mahkamah Thailand.

Katanya antara sebab yang diberikan ialah Justo belum didakwa di mahkamah
dan sekiranya temu bual dibenarkan, ia boleh mengganggu proses pertuduhan.

“Justo seorang warga Swiss dan kesalahan dia dilakukan di Thailand. Sebab
itu tidak mudah untuk menyoal siasat dia. Dalam kes ini kita memerlukan
peruntukan undang-undang untuk menemu bual Justo.

“Kerajaan Swiss turut membangkitkan perhatian terhadap rakyatnya … jadi
pihak berkuasa Thai juga perlu berhati-hati dalam aspek ini,” katanya kepada
media sejurus tiba dari Bangkok di Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur di sini hari ini.

Khalid berkata pihak berkuasa Thailand memerlukan sedikit masa bagi
melengkapkan siasatan termasuk merujuk aspek undang-undang, antaranya bagi
melihat kemungkinan polis dibenarkan menemu bual Justo.

“Jadi, kita juga akan berbincang dengan Peguam Negara terutamanya dalam
aspek perundangan bagi mendapatkan akses bertemu Justo sekiranya usaha polis
dengan polis tidak berjaya,” katanya.

Berhubung pertemuannya dengan Somyot, Khalid berkata rakan sejawatnya itu
memberikan kerjasama penuh dengan berkongsi maklumat tertentu bagi membantu
polis Malaysia merancang siasatan di sini.

Mengenai laporan The Straits Times Singapura yang dikatakan berjaya
menemu bual Justo di Thailand, Khalid berkata beliau tidak pasti bagaimana
perkara itu dilakukan.

“Saya diberitahu tiada pihak dibenarkan merakam percakapan Jusco tetapi saya
tak pasti sama ada arahan itu turut melibatkan media,” katanya.

Justo ditahan pihak berkuasa Thailand pada 22 Jun lalu atas tuduhan cuba
memeras ugut bekas majikannya sehingga 2.5 juta Swiss Franc (RM10 juta) dan
mengancam akan mendedahkan maklumat sulit perniagaan yang didakwa dicurinya
daripada syarikat jika tuntutannya tidak dipenuhi.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY