KUALA LUMPUR, 30 Dis – Perbualan di bawah merupakan petikan rakaman perbualan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dengan kakaknya. Melalui panggilan telefon tersebut, Nor Amira Atirah Abdul Majid mendakwa dirinya dilarikan sebuah van putih.

LALA: Habis tu nak buat macam mana Ira?
IRA: Matilah aku, matilah aku, matilah aku.
LALA: Lari, lari, lari! Pergi, pergi, pergi!
IRA: Macam mana aku nak lari…

Rakaman selama tiga minit 43 saat itu tersebar luas terutamanya di Facebook. Laman Friends of PDRM, misalnya telah mencatat lebih 17 ribu perkongsian setakat ini.

“Dia tutup mulut aku dengan kain”

Rakaman tersebut bermula dengan pertanyaan kakak remaja berkenaan dan pesanannya agar jangan terlalu lama di talian untuk menjimatkan hayat bateri agar mudah dikesan pihak polis.

Atirah juga sempat memberitahu detik-detik sebelum hilang. Dengan suara cemas dan menggeletar, dia mendakwa diculik dalam perjalanan pulang ke rumah. Mulutnya ditutup dengan kain dan dia dimuatkan dalam sebuah van putih sebelum tidak sedarkan diri.

Atirah turut mendakwa terlihat papan tanda ‘Johor Bahru’ apabila tersedar dari pengsan dan meminta keluarga segera mendapatkannya.

Panggilan tersebut berakhir dengan jeritan remaja berkenaan sebelum talian terputus.

PDRM melalui laman Facebook Polis Selangor mengesahkan laporan mengenai insiden berkenaan telah pun diterima Isnin lalu.

Pihak polis telah menubuhkan satu pasukan penyiasat untuk menjejak dan mengesan lokasi remaja tersebut. Kes ini diklasifikasikan sebagai kes culik dibawah seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Pihak polis turut meminta kerjasama semua pihak agar tidak membuat spekulasi yang boleh menggugat keselamatan remaja tersebut. -Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY