SEMPORNA, 9 Dis – Sahkan……. Polis Sabah hari ini mengesahkan tiga daripada tujuh suspek dipercayai penculik dari selatan Filipina mati dalam kejadian tembak-menembak dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) di perairan Pulau Gaya di Semporna, malam tadi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun, berkata dalam kejadian itu, dua penculik diberkas manakala dua lagi penculik hilang dan berjaya menyelamatkan seorang daripada dua mangsa culik yang kedua-duanya merupakan juragan bot.

“Ketika berlaku kejadian tembak-menembak itu, turut terdapat dua juragan yang diculik masing-masing di perairan Bekapit di Lahad Datu dan Pulau Gaya di Semporna, yang berada di dalam bot penculik.

“Seorang mangsa culik ditemui selamat manakala dua lagi penjenayah hilang bersama seorang mangsa culik,” katanya.

Menurut Abdul Rashid kronologi 40 minit kejadian itu bermula apabila tujuh suspek tersebut yang menaiki sebuah bot telah menculik seorang juragan yang memegang Kad IMM13 berumur 30-an di perairan Bekapit di Lahad Datu, kira-kira 9 malam tadi.

“Penculik ini merosakkan alat komunikasi bot juragan yang diculik sebelum menuju ke perairan Semporna dan terserempak dengan sebuah bot nelayan lain.

Abdul Rashid berkata penculik hanya menyamun enjin sangkut bot tersebut kerana nelayan di dalam bot itu, semua menyelamatkan diri dengan terjun ke laut.

Kemudian katanya selepas kegiatan menyamun itu, penculik kemudian terserempak dengan sebuah bot lain dan telah menculik juragan bot tersebut yang juga pemegang kad IMM13 berumur awal 30-an.

Menurut Abdul Rashid penculik itu kemudian meneruskan perjalanan lagi sebelum terserempak dengan sebuah bot nelayan yang turut dinaiki sepasukan PGA unit Tiger Platoon yang sedang menjalankan OP Coral di perairan Pulau Gaya.

“Pasukan ini menyedari pergerakan bot penculik berkenaan dan ketika itu ketua unit melihat penculik-penculik itu memegang senjata berat dengan ada yang penculik yang melilitkan badan dengan peluru.

“Ketua pasukan telah menjerit ‘polis’ menyebabkan penculik melepaskan tembakan dan untuk mempertahankan diri, pasukan PGA membalas tembakan. Pertempuran itu berlangsung selama seminit sebelum bot dinaiki penculik tenggelam perlahan-lahan,” katanya.

Menurut Abdul Rashid, pasukan PGA kemudian menghampiri bot itu dan menemukan tiga penculik mati, dua penculik selamat dan diberkas manakala seorang mangsa culik ditemui selamat.

“Dua lagi penjenayah hilang bersama seorang mangsa culik ketika bot itu sudah tenggelam dan kami masih mencari mereka,” katanya.

Abdul Rashid berkata dalam kejadian tembak-menembak itu seorang anggota PGA berpangkat Lans Koperal tercedera di bahagian kaki kanan dan kini berada di hospital untuk rawatan lanjut.

Dalam pada itu, beliau meminta penduduk pulau berhampiran yang terserempak dengan dua suspek dan mangsa culik agar segera melaporkan kepada balai polis berdekatan.

Ditanya sama ada kesemua suspek itu merupakan antara 23 senarai yang diburu Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) kerana disyaki terlibat jenayah rentas sempadan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang turut dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Abu Sayyaf, Abdul Rashid berkata perkara itu masih dalam siasatan.

Selain itu, beliau berkata kejayaan anggota PGA dalam OP Coral berkenaan merupakan operasi khas dijalankan September lepas untuk membendung jenayah di perairan negara manakala kawalan keselamatan di pulau-pulau.

“Kejayaan menumpaskan kumpulan penculik ini juga adalah hasil kerjasama dengan Esscom yang di bawahnya ada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),” katanya lagi. – WD MY