MELAKA, 17 Mei – Polis berjaya menyelamatkan lima sekeluarga yang
dijadikan tebusan selepas lebih enam jam berunding dan cuba menenangkan seorang
lelaki bersenjata parang dalam kejadian amuk di sebuah rumah di Taman Duyong
Indah di sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye berkata dalam kejadian itu seorang
lelaki berusia 30-an telah menjadikan isterinya berusia 40-an; ibu kandungnya
60-an; dan tiga anak perempuannya berusia antara tiga hingga sembilan tahun
sebagai tebusan dipercayai akibat tidak puas hati dengan isteri dan ibunya.

Polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 7.15 malam dan
bergegas ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa tebusan, katanya kepada
pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata polis telah cuba berunding meminta lelaki itu menyerah diri
tetapi tidak berjaya kerana dia dalam keadaan amat marah dengan ibu dan
isterinya yang didakwanya telah melakukan sihir terhadapnya.

“Polis tidak dapat mengambil tindakan awal kerana suspek bersenjatakan
parang dan menggunakan senjata itu untuk mengancam ahli keluarganya,” katanya.

Polis bagaimanapun terpaksa bertindak menyerbu rumah berkenaan dan
berjaya menyelamatkan semua tebusan serta menahan suspek kira-kira pukul 2 pagi
selepas suspek semakin bertindak agresif terhadap terhadap isteri, ibu dan
anak-anaknya, katanya.

Chuah berkata semua mangsa tebusan berkenaan dibawa ke Hospital Melaka
untuk rawatan. Isteri lelaki itu mengalami kecederaan di muka dan mata
dipercayai dipukul manakala siasatan masih dilakukan bagi mengetahui sama ada
emak serta anak-anaknya mengalami kecederaan.

Mengulas lanjut tentang rundingan lebih enam jam dengan suspek, katanya
polis berusaha tidak menggunakan kekerasan atau senjata sebaliknya secara
rundingan yang diketuai Timbalan Ketua Polis Melaka SAC Mohd Shahrizan Che Mat
Din atas faktor keselamatan tebusan.

Katanya polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu
termasuk latar belakang suspek yang dipercayai tidak mempunyai pekerjaan.

“Terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan terhadap suspek termasuk
sama ada dia adalah penagih atau berada dalam pengaruh dadah ketika bertindak
menahan ahli keluarganya sebagai tebusan dan bertindak agresif,” katanya.

Sementara itu, seorang jiran suspek yang menghubungi polis bagi memaklumkan
kejadian itu, berkata suspek seorang yang panas baran dan sering bertindak
memukul anggota keluarganya.

“Kami sering mendengar jeritan dan melihat dia (suspek) memukul ahli
keluarganya terutama isterinya. Lebih ketara dalam beberapa hari ini kerana
pergaduhan antara mereka berlarutan dari malam sampai awal pagi,” kata lelaki
itu.

Beliau berkata dalam kejadian amuk pada hari tersebut, suspek pada mulanya
menarik isterinya ke luar rumah dan bertindak memecahkan sebuah kenderaan jiran
pada kira-kira pukul 7 malam.

Katanya suspek kemudian masuk ke dalam rumah dan mengunci diri serta anggota
keluarganya di dalam rumah yang telah didiaminya kira-kira tujuh tahun lepas
yang menyebabkannya menghubungi polis kerana bimbang dengan keselamatan mereka.
-Rizalman Has (WD MY)

LEAVE A REPLY