KUALA LUMPUR, 15 Okt – OPERASI….. Dua pusat hiburan yang beroperasi lebih masa di sekitar pusat bandaraya diserbu awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sukri Kaman, berkata serbuan jam 4 pagi dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selepas mengesan pusat hiburan terbabit beroperasi selepas jam 3 pagi.

“Selain beroperasi melebihi masa ditetapkan, dua pusat hiburan itu turut dikunjungi individu di bawah umur.

“Premis ini jelas melakukan kesalahan mengikut Peraturan 27 dan Peraturan 30 Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Wilayah Persekutuan, beroperasi lebih masa dan membenarkan pengunjung bawah umur masuk ke pusat hiburan,” katanya dalam satu kenyataan.

Anggota polis melakukan pemeriksaan terhadap pengunjung pusat hiburan dalam operasi berkenaan.

Sukri berkata, seramai 49 individu, termasuk empat warga asing yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan tamat tempoh turut ditahan.

“Daripada jumlah itu, 45 pengunjung individu di bawah umur.

“Semua suspek yang ditahan berusia dalam lingkungan 16 hingga 20 tahun dibawa ke IPD Dang Wangi untuk siasatan lanjut,” katanya. – WD MY