KANGAR, 28 MAC – SIASAT….. Keluarga Ainaa Dhabitah Sham, 18, yang mayatnya ditemui di Sungai Sentap, Kampung Kodiang Lama, Kedah, Sabtu lalu, mahu si pelaku dikenakan hukuman setimpal sekiranya remaja perempuan itu adalah mangsa bunuh.

Kakaknya, Nur Aini Sham, 29, berkata mereka juga tidak akan memaafkan pembunuh Ainaa Dhabitah atau nama timangan Kelik, kerana menyifatkan perbuatan terhadap anak bongsu daripada sembilan beradik itu sebagai terlalu kejam.

“Kami reda dengan pemergian Kelik tetapi untuk memaafkan apa yang berlaku, itu jauh sekali. Arwah seorang yang periang, malah untuk bermusuhan dengan orang pun susah.

“Kami sekeluarga berharap hukuman setimpal dikenakan terhadap pelaku jika benar arwah dibunuh,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menceritakan lanjut, Nur Aini berkata, mangsa meminta izin ibu dan bapanya untuk keluar menemui seorang rakan pada jam 7 malam, Sabtu lalu.

“Kelik memberitahu hendak berjumpa kawan dan berjanji akan pulang sebelum jam 10 malam itu.

“Kami membenarkannya keluar kerana tahu arwah seorang yang menepati janji kepada emak dan ayah,” katanya.

Namun, beliau berkata, mangsa tidak pulang hingga keesokan pagi menyebabkan mereka mencarinya di rumah saudara terdekat dan kenalan rapat arwah.

“Semua mereka tidak tahu dan hanya seorang sepupu kami memberitahu, arwah memaklumkan kepadanya untuk keluar bertemu seorang rakan lelaki menetap di Kodiang, Kedah.

“Sepupu juga sempat menegurnya yang sedang menunggang motosikal dan bergurau sebelum arwah meneruskan perjalanan bertemu lelaki berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, sejak itu, mangsa tidak pulang dan gagal dihubungi sehingga media melaporkan penemuan mayat remaja terbabit di Sungai Sentap.

“Kami berharap siasatan terhadap kes kematian arwah dijalankan seadilnya dan orang ramai tidak mudah menimbulkan spekulasi yang boleh memburukkan maruah keluarga kami,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun ditemui maut apabila mayatnya tersangkut pada mata kail seorang pemancing di Sungai Sentap, Kampung Kodiang Lama, Sabtu lalu.

Susulan itu, polis menahan teman lelaki mangsa yang juga remaja berumur 18 tahun, Ahad lalu, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, dipetik sebagai berkata mayat mangsa ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap pada jam 11.51 malam.

Berdasarkan soal siasat, Mohd Ismail berkata, teman lelaki mangsa mendakwa mereka terjatuh ke sungai selepas bertengkar.

“Lelaki terbabit mendakwa dirinya berjaya menyelamatkan diri, manakala mangsa disyaki lemas. Namun, lelaki itu tidak pula meminta bantuan daripada orang ramai,” katanya. – WD MY