KUALA LUMPUR, 21 Julai – Punca….. Pihak Polis sedang menyiasat kes penemuan mayat seorang anggota polis Bukit Aman dan wanita Vietnam dipercayai kekasihnya di sebuah rumah dekat Taman Cantik, Cheras, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 11 pagi itu, anggota berusia 25 tahun berkenaan dan wanita dipercayai warga asing lingkungan 20-an ditemui terbaring dalam sebuah bilik dengan kesan tembakan.

Kejadian itu dipercayai berpunca apabila seorang mangsa menembak mati salah seorang dari mereka sebelum membunuh diri.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh berkata, anggota yang membuat siasatan di lokasi menemui kesan tembakan masing-masing di kepala dan badan mangsa.

Turut ditemui sepucuk pistol milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada pada mayat berkenaan.

“Setakat ini, siasatan masih diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kejadian dan siapa yang menembak siapa.

“Kita belum dapat mengesahkan sama ada wanita itu warga asing atau hubungannya dengan anggota berkenaan kerana siasatan masih berjalan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mati mengejut. – WD MY