KUALA LUMPUR, 5 OKT – TERIMA….. Polis menerima satu laporan berhubung kes pukul yang viral di media sosial membabitkan seorang doktor yang sedang bertugas di kliniknya di Bandar Baru Bangi, Kajang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata laporan itu dibuat oleh doktor terbabit pada jam 3.45 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Tanpa mengulas lanjut, beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan ia (siasatan) masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi balai berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Inspektor Fahrul Anuar di talian 014-3700870.

Terdahulu, viral di media sosial satu video berdurasi 2 minit 19 saat yang memaparkan seorang lelaki dipercayai bernama ‘Aiman’ menyerang sebelum membelasah seorang lagi lelaki dipercayai doktor di sebuah klinik kesihatan.

Berdasarkan percakapan mereka, kejadian dikatakan berlaku atas dakwaan doktor berkenaan keluar bersama isteri lelaki terbabit namun punca sebenar tidak dapat dipastikan. – WD MY