GOMBAK, 17 Mac – TAHAN…. Pihak Polis menahan empat remaja berusia 15 hingga 18 tahun disyaki terbabit dalam pergaduhan di hadapan sebuah sekolah di Jalan 5, Taman Selayang di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 7 malam itu dipercayai berlaku selepas seorang pelajar lelaki menuduh seorang rakan sekolah mencuri telefon bimbitnya sehingga mencetuskan perasaan tidak berpuas hati.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, berkata kedua-dua pelajar terbabit kemudian meminta bantuan abang masing-masing dan berlaku pergaduhan di hadapan sekolah.

“Pihak kami menerima panggilan MERS 999 memaklumkan ada pergaduhan antara dua kumpulan remaja di Jalan 5, Taman Selayang.

“Puncanya dikatakan seorang pelajar terbabit menuduh seorang lagi pelajar mencuri telefon bimbitnya. Abang kedua-dua pelajar itu campur tangan dan terjadi pergaduhan,” katanya.

Beliau berkata, seorang pelajar yang cedera dalam kejadian itu dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan.

“Berikutan itu, kami menahan empat remaja bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, ” katanya. – WD MY