KUALA LUMPUR, 20 OGOS – TAHAN…. Pihak Polis menahan suspek yang didakwa menaikkan satu catatan Facebook yang menyarankan orang Islam supaya menyediakan “parang sembelihan” untuk “si kafir” minggu lepas.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Roslan Bek Ahmad berkata, suspek merupakan seorang lelaki Melayu berusia 43 tahun ditahan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Cheras pada jam 3 petang tadi.

“Pada 16 Ogos, polis menerima satu laporan yang dibuat oleh seorang ahli politik berusia 49 tahun setelah pengadu terbaca satu artikel yang bertajuk “Jakim siasat FB Pegawai Didakwa Saran Sedia Parang Untuk Si Kafir” di lamanweb Free Malaysia Today (FMT).

“Laporan polis dibuat kerana pengadu berasa bimbang perkara
tersebut menganggu gugat ketenteraman awam dan keamanan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 14 Ogos, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilaporkan menyiasat satu catatan Facebook yang dikatakan milik kakitangannya yang menyarankan orang Islam supaya menyediakan “parang sembelihan” untuk “si kafir” yang mengundang pelbagai reaksi di media sosial.

Pengguna media sosial berkongsi tangkap layar catatan itu bersama dengan nama penulis asal, Bakri Amboala.

Dalam pada itu, Roslan berkata, berikutan hasil siasatan awal suspek berkata, akaun Facebook miliknya itu telah digodam.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat pada 20 Ogos 2019 untuk siasatan lanjut.

“Pihak polis memandang serius isu ini dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada,” katanya.

Roslan berkata, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat kenyataan berbaur perkauman yang boleh menjejaskan ketenteraman awam ataupun menimbulkan kegusaran di kalangan masyarat.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat bolehlah menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya. – WD MY