SERDANG, 12 Jun – Tahan…. Pihak Polis menahan seorang pemandu GrabCar selepas dipercayai merogol seorang wanita dalam kereta miliknya di Bandar Putra Permai, Sri Kembangan, di sini, awal pagi, pada Ahad lalu.

Suspek yang berusia 30 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Khas Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di Sungai Buloh pada jam 10 malam hari yang sama dan turut merampas kenderaan yang digunakan oleh suspek.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, suspek dipercayai merogol wanita berusia 29 tahun ketika mangsa menggunakan perkhidmatannya daripada Petaling Jaya menuju rumahnya di Sri Kembangan pada jam 4 pagi.

“Mangsa tampil membuat laporan pada jam 3 petang hari yang sama, menurut mangsa, ketika kejadian, dia berada dalam keadaan mabuk.

“Mangsa melaporkan dia tidak mampu untuk melawan suspek, selepas kejadian suspek menghantar mangsa pulang ke rumahnya,” katanya dalam kenyataan.

Megat Mohamad Aminuddin berkata suspek akan direman esok di Mahkamah Petaling Jaya dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. – WD MY