BESUT, 25 Julai – Seorang pengawal keselamatan berumur 56 tahun
ditahan bagi membantu siasatan kes seorang lelaki berusia 29 tahun yang
cedera di kaki kirinya akibat terkena tembakan pada Rabu lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut DSP Kamsani Hassan memberitahu suspek
telah ditahan di sebuah kedai kopi di pekan Jabi pada Khamis dan selaras
senapang angin yang dipercayai digunakan untuk menembak mangsa turut dirampas
kemudiannya.

Katanya berdasarkan siasatan kejadian tembak tersebut berlaku di sebuah
ladang kelapa sawit di Kampung Pondok Paku Kerandang di sini yang dijaga oleh
suspek.

Menurutnya dalam kejadian petang Rabu itu suspek dikatakan telah terserempak
mangsa yang merupakan seorang penduduk tempatan dan anggota keluarga pemilik
ladang berkenaan sedang mengambil buah kelapa sawit di ladang sawit jagaan
suspek.

“Suspek menghampiri mangsa dan telah berlaku pertengkaran hingga menyebabkan
suspek telah melepaskan tembakan mengenai kaki kiri mangsa,” katanya kepada
media hari ini.

Menurut Kamsani mangsa telah dihantar untuk rawatan ke Hospital Besut di
Jerteh kira-kira pukul 4.00 petang hari berkenaan oleh salah seorang
anggota keluarganya tetapi telah dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia
(HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Katanya ekoran dari kejadian itu satu laporan telah dibuat oleh pihak HUSM
melalui Balai Polis Kubang Kerian hingga membawa kepada tindakan diambil bagi
mengesan suspek pada hari berikutnya.

Beliau berkata pada hari Khamis kira-kira pukul 11.00 malam pihaknya berjaya
mengesan suspek dan menahannya.

Suspek juga telah membawa pihak polis ke satu kawasan di ladang kelapa sawit
berkenaan di mana beliau telah menyorokkan selaras senapang angin yang
digunakannya untuk menembak mangsa pada Rabu.

Kamsani berkata suspek telah direman lima hari untuk membantu siasatan mulai
Khamis dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY