KLANG, 29 Jun – SUSPEK….. Lelaki warganegara asing berusia 20 tahun yang dipercayai suspek utama kes pemandu Grab ditemui meninggal dunia di dalam kereta miliknya di Taman Selayang Makmur, Gombak, pada 23 Jun lalu berjaya ditangkap polis, malam tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, suspek ditangkap di sebuah kawasan di Gombak dan akan dibawa ke mahkamah untuk ditahan reman pada hari ini.

Menurutnya, polis percaya dengan tertangkapnya suspek, kes membabitkan Allahyarham Aiman Nosri, 27, yang dipercayai dibunuh sebelum dijumpai di tempat duduk belakang kereta Perodua Myvi itu dapat diselesaikan.

“Saya percaya ia adalah tangkapan yang terakhir, dan keseluruhannya seramai enam orang ditangkap bagi kes ini, namun hanya dua orang sahaja yang mempunyai kaitan dengan kes ini.

“Mengenai motif kejadian, polis masih menyiasat dan perlu tunggu sehingga siasatan dilengkapkan untuk pertuduhan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – WD MY