IPOH, 16 Mac – Polis sudah menahan lapan individu termasuk seorang dipercayai dalang utama dalam sindiket penjualan dan pemberian darjah kebesaran palsu di negeri ini sejak 16 Februari lalu mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.  

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi, berkata semua suspek berusia lingkungan umur 35 hingga 63 tahun itu ditahan di beberapa negeri antaranya Perak, Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dalam Ops Anugerah yang dijalankan polis Perak dengan kerjasama Bukit Aman.  

Beliau berkata, semua yang ditahan direman mengikut Seksyen 4(2) POCA 1959 dan sedang menunggu Lembaga Pencegahan Jenayah bersidang.  

“Dalang utama sindiket ini juga sudah berjaya ditahan dan polis masih mengesan beberapa lagi individu lain yang dipercayai turut terbabit dalam kegiatan ini.  

“Ops Anugerah ini dijalankan bagi menjunjung titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan polis akan membuat kenyataan lanjut mengenai tangkapan ini dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan dan Pegawai Rendah Polis (PRP) di Mes Pegawai Kanan Polis, di sini, sebentar tadi.  

Semalam, Sultan Nazrin dalam titahnya menggesa supaya tindakan tegas diambil terhadap individu terbabit kegiatan menjual dan menganugerahkan darjah kebesaran palsu. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY