IPOH, 19 Okt – Maut Ditembak…… Pihak Polis menembak mati seorang penjenayah yang sangat dikehendaki ketika berbalas tembakan di Persiaran Lembah Perpaduan, Tambun, dekat sini, awal pagi tadi.

Polis merampas sepucuk pistol buatan China, empat butir peluru hidup dan sebilah pisau panjang.

Turut ditemui dua kelongsong peluru yang dilepaskan penjenayah berusia 35 tahun itu, termasuk satu yang mengenai seorang sarjan polis berusia 42 tahun tetapi tidak cedera kerana memakai jaket kalis peluru.

Datuk Hasnan Hassan, berkata sepasukan polis menemui kereta Toyota Vios dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan di Jalan Besar Tanjung Rambutan pada jam 12 tengah malam.

Timbalan Ketua Polis Perak itu berkata, anggota polis cuba menahan kereta itu namun suspek memecut menuju ke arah sebuah kondominium sebelum kenderaan itu terbabas ke bahu jalan setiba di Jalan Persiaran Lembah Perpaduan.

“Sebaik polis menghampiri kereta itu, pemandunya tiba-tiba keluar dan melepaskan sedas tembakan ke arah kereta polis dan terkena baju kalis peluru seorang anggota.

“Suspek juga melepaskan satu das lagi tembakan ke arah anggota yang lain, menyebabkan polis terpaksa membalas tembakan hingga suspek rebah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, hari ini.

Hasnan berkata, semakan mendapati suspek bergerak secara sendirian ketika melakukan jenayah dan mempunyai sembilan rekod jenayah lampau kes dadah, pecah rumah serta curi kenderaan.

Katanya, polis pernah menahan suspek pada Februari lalu kerana melakukan ugutan jenayah menggunakan senjata api dan merampas sepucuk pistol, 30 butir peluru hidup, sebilah pedang dan satu senjata buku lima.

Bagaimanapun, dia kemudian dibebaskan dengan jaminan polis dan kesnya masih dalam siasatan lanjut. – WD MY