PETALING JAYA, 20 April – Polis Tembak Mati……….Seorang lelaki maut ditembak polis,
sementara teman wanitanya bersama dua lagi rakan mereka ditahan di Jalan Kilang
51/A, di sini awal hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din, keempat-empat
individu terbabit dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun dan curi
kenderaan di sekitar Lembah Klang.

“Pihak polis telah menerima maklumat berhubung kejadian samun dan curi
kereta di kawasan tersebut dan seterusnya menghantar sepasukan anggota polis
untuk membuat rondaan di situ.

Polis kemudian menemui dua buah kenderaan iaitu Proton Perdana dan Honda
Stream dan cuba memeriksa kedua-dua kenderaan terbabit,” katanya ketika ditemui
media di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Katanya semasa pemeriksaan itu, lelaki yang memandu kereta Proton Perdana
itu kemudian cuba melarikan diri dan merempuh kenderaan polis termasuk anggota
yang bermotosikal.

Mohd Zani berkata, bagi mempertahankan diri, anggota polis terpaksa
melepaskan beberapa das tembakan ke arah pemandu terbabit menyebabkan dia
terbunuh di tempat kejadian.

“Anggota polis bermotosikal itu mengalami kecederaan ringan akibat dirempuh
kenderaan suspek,” katanya.

Menurutnya, teman wanita suspek pula yang berusia awal 20-an dan berada
dalam kenderaan sama pula mengalami kecederaan di bahagian tangan dan peha,
dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan, katanya.

Sementara dua rakan mereka yang kedua-duanya lelaki, berada dalam kenderaan
Honda Stream pula ditahan selepas itu di lokasi sama.

Katanya berdasarkan siasatan awal ketiga-tiga lelaki berkenaan termasuk
yang maut berusia dalam lingkungan 30-an dan mempunyai rekod jenayah lampau.

“Polis turut menemui pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk
pecah rumah di dalam salah sebuah kenderaan itu dan mendapati kedua-dua
kenderaan itu adalah kenderaan curi dan menggunakan nombor pendaftaran palsu,”
katanya. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY