KUCHING, 19 OGOS – JUMPA….. Serbuan di sebuah rumah di Lorong Kapor, Jalan Sungai Maong, kelmarin bukan saja menemui dadah, malah selaras senapang angin.

Serbuan jam 5.30 petang dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, bertindak atas maklumat risikan.

Ketua JSJN Sarawak, Superintendan Hasnir Abdul Hamid, berkata dalam serbuan itu, seorang lelaki berusia 40-an yang juga penganggur pada awalnya ditahan kerana dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata, pemeriksaan di bilik pertama rumah terbabit menemui serbuk ecstasy seberat 8.8 gram (g), 10 biji pil ecstasy seberat 3.78g dan syabu seberat 0.86g yang disorok di dalam laci kabinet kayu.

“Pasukan serbuan kemudiannya membuat pemeriksaan lanjut dan menemui selaras senapang angin jenama Sharp Innova bersama dua bekas plastik berisi peluru timah jenis superdome dan satu kotak bertulis New Waisted Pattern Air Rifle Pellets.

“Barangan terbabit diletakkan di tepi dinding berhampiran tangga,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Hasnir berkata, suspek kemudian dibawa ke JSJN Sarawak untuk tindakan lanjut dan ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah.

“Semakan turut mendapati suspek pernah ditahan sebanyak tujuh kali kerana kes membabitkan dadah. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960,” katanya. – WD MY