BANGKOK, 18 DIS – BURU….. Seorang pembunuh bersiri yang baharu dibebaskan kerana berkelakuan baik beberapa bulan lalu, menjadi buruan polis Thailand selepas disyaki terbabit dalam satu kes pembunuhan.

Somkid Pumpuang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 2005, selepas sabit kesalahan membunuh lima wanita dan beliau dipercayai terbabit dalam industri seks dan hiburan, hingga media Thailand menggelarnya sebagai ‘Jack the Ripper’.

Jabatan Pemulihan Thailand dalam satu kenyataan berkata, penjenayah berusia 55 tahun itu dibebaskan lebih awal, iaitu pada Mei lalu dan beliau dianggap sebagai oleh banduan cemerlang.

Namun, tujuh bulan kemudian, pihak berkuasa berusaha menahannya semula, kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan seorang pekerja hotel berusia 51 tahun di timur laut Thailand.

Pegawai penyiasat kes, Chatchawin Srikaeolor memberitahu AFP, beberapa balai polis di sekitar kawasan itu sudah diarah untuk membantu usaha mengesan pembunuh bersiri itu.

“Kami percaya kejadian pembunuhan itu berlaku pada awal pagi Ahad lalu,” katanya.

Bahagian penindasan jenayah Thailand turut memuat naik gambar Somkid di akaun Facebook mereka dengan tajuk ‘Amat Dikehendaki’.

Sementara itu, jabatan pemulihan berkata, pihaknya sedang mengkaji semula dasar pengurangan hukuman penjara, tetapi mendedahkan mereka kini mengendalikan 370,000 banduan di seluruh negara.

Masalah kesesakan menjadi antara masalah utama di penjara Thailand, iaitu salah satu populasi banduan tertinggi di dunia.

Hampir 80 peratus banduan dipenjarakan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah. – WD MY