KULAI, 19 Dis – Tidak Halang…. Polis tidak menghalang kebebasan kartunis dan penggiat seni di negara ini berkarya dengan syarat ia bukan untuk berniat menjatuhkan air muka pemimpin dengan mencaci serta menghina mereka menerusi karya dihasilkan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata segala hasil karya seni yang berbentuk menghasut dan menghina akan dikenakan tindakan undang-undang, selain berdepan tindakan karya mereka dirampas.

“Polis tidak menghalang, malah memberi kebebasan kepada penggiat seni menghasilkan karya. Kami tidak pernah ada isu dengan karya Datuk Lat (Datuk Mohammad Nor Khalid) walaupun dia ada menghasilkan karya berkait dengan pemimpin tertinggi negara walaupun ada unsur jenaka.

“Saya tidak faham kenapa ada kartunis bertindak menghasilkan kartun berbentuk menghasut sampai membuat pameran di luar negara semata-mata menghina negara,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Polis Bantuan Malaysia ke-28 di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Rusli Ahmad; Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan Presiden Persatuan Polis Bantuan Malaysia, Baharuddin Othman. – WD MY