KUALA NERUS, 28 Sept – Tidak Mempunyai Maklumat….. Pihak polis tidak menerima sebarang maklumat mengenai sepupu kepada tunang bintang bola sepak Real Madrid, Gareth Bale yang dilaporkan bersembunyi di Malaysia kerana diburu sindiket dadah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata pihaknya juga belum dihubungi pihak berkuasa United Kingdom mengenai laporan terbabit.

Berdasarkan laporan sebuah portal dalam talian, Epiphany Dring, 27, hilang sejak lima minggu lalu selepas disyaki melarikan wang berjumlah 300,000 pound (RM1.6 juta), dadah dan jam mewah milik sindiket dadah di negaranya.

Sejak itu, dia menjadi buruan sindiket berkenaan, malah tunang Bale iaitu Emma Rhys-Jones dilaporkan turut diganggu sehingga terpaksa diberikan perlindungan oleh polis di Britain yang percaya Dring melarikan diri ke Malaysia.

Noor Rashid berkata, polis perlu melihat fakta berhubung isu itu sebelum mengambil tindakan selanjutnya selaras keperluan pihak berkuasa di United Kingdom.

“Setakat ini, kita masih belum dihubungi lagi. Kita juga hendak melihat fakta sebenar mengenai kes berkenaan bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Kebangsaan 2016, di sini hari ini. – WD MY

LEAVE A REPLY