IPOH, 17 Mac – Belum Terima……. Pihak Polis Perak tidak menerima sebarang permohonan
rasmi untuk menganjurkan majlis perdebatan antara bekas perdana menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamed dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed
Nazri Abdul Aziz yang dirancang minggu depan.
Pemangku Ketua Polis Negeri, Datuk Hasnan Hassan berkata setakat ini tiada
pihak memohon permit perhimpunan untuk majlis berkenaan yang dilaporkan akan
berlangsung pada pukul 3 petang di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan
Shah di Kuala Kangsar pada 25 Mac ini.
“Sekiranya ia berlangsung tanpa kebenaran polis, maka ia menjadi satu
kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012),” katanya dalam
kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, sekolah adalah kawasan larangan mengikut Jadual Pertama Seksyen
3 APA 2012.
Justeru, katanya, polis boleh mengambil tindakan terhadap sesiapa yang
menghadiri majlis itu kerana berhimpun di tempat larangan dan tanpa kebenaran di
bawah Seksyen 9(5) APA 2012.

Hasnan berkata adalah menjadi tanggungjawab pihak polis untuk memastikan
keselamatan dan ketenteraman penduduk setempat sentiasa berada dalam keadaan
aman dan damai.

Menurutnya, pihak polis mengingatkan dan memberi amaran keras kepada orang
ramai sekiranya mereka terlibat dalam perhimpunan itu, tindakan tegas akan
diambil mengikut peruntukan undang-undang yang ada. – WD MY