KAJANG, 17 MEI – TINGKAT….. Kawalan di sempadan negara dipertingkatkan bagi menghalang kemasukan mercun dan bunga api yang lazimnya mendapat permintaan tinggi menjelang Aidilfitri.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pihaknya melipat gandakan risikan dan pemantauan bagi mengesan dalang kegiatan penyeludupan mercun dan bunga api.

Katanya, penyeludup akan mengambil peluang membawa mercun dan bunga api terutama pada Ramadan berikutan permintaan yang tinggi.

“Kita sekarang memberi tumpuan untuk mengekang penyeludupan mercun dan bunga api kerana barangan ini popular pada Hari Raya Aidilfitri, jadi permintaannya tinggi.

“Polis tidak mahu barang terlarang termasuk mercun masuk ke dalam negara, justeru risikan dan pemantauan kita tingkatkan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa JKDNKA, semalam.

Mengulas lanjut, Acryl berkata setakat ini tiada tangkapan dilakukan berkaitan kes penyeludupan mercun dan bunga api.

“Kita cuma dapat mengesan adanya kumpulan kecil atau individu yang membawa masuk mercun ke dalam negara untuk dijual.

“Mereka ini mungkin yang membuat kerja sambilan atau ‘freelance’ untuk menjual mercun, polis ingin mencari dan menahan sindiket yang bergerak secara besar-besaran,” katanya. – WD MY