TANAH MERAH, 21 Dis – Tumpas…….. Dua lelaki, masing-masing mempunyai lapan dan 10 rekod jenayah ditahan selepas bergelut dengan anggota polis di Kampung Tepi Sungai di sini, semalam.

Polis turut menemui lima biji pil eramin 5, dua biji pil kuda, satu tiub heroin dan sebilah pisau, parang serta pedang dalam kenderaan dinaiki suspek.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad, berkata sebelum itu, polis mengesan suspek yang menaiki Proton Iswara dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, polis cuba menahan kereta dinaiki suspek berusia 27 dan 34 tahun tetapi mereka melarikan diri.

“Kereta dinaiki suspek kemudian melanggar dua kereta Proton Waja dinaiki anggota polis.

“Anggota polis terpaksa melepaskan satu das tembakan kerana suspek bertindak agresif. Seorang daripada suspek cedera ketika bergelut dengan anggota polis,” katanya ketika dihubungi.

Suspek yang cedera dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk rawatan dan semakan polis mendapati suspek berusia 27 tahun mempunyai lapan rekod jenayah termasuk rogol di Gua Musang.

Seorang lagi suspek yang mempunyai 10 rekod jenayah lampau berkaitan dadah, ragut dan samun.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958 (ABKLSB) kerana memiliki senjata berbahaya dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam ketika bertugas.

Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – WD MY