SUNGAI BESAR, 5 Jun – Sesuatu Era Baru Dalam Politik…… Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menganggap proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang tenang serta terkawal sebagai tanda permulaan era kematangan politik tanah air.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia dapat disaksikan menerusi sikap ditunjukkan pemimpin ketiga-tiga parti yang hadir memberi sokongan kepada calon masing-masing ketika proses penamaan calon di sini.

“Era kematangan politik bermula. Kita harap di Kuala Kangsar juga begitu. Buat pertama kali kita lihat ketenangan (wujud) antara tiga parti,” katanya pada sidang media selepas proses penamaan calon di Dewan Seri Bernam, hari ini.

Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata, apa yang berlaku hari ini ialah kepemimpinan tiga parti bertemu dengan baik yang bukan sekadar membicarakan soal politik malah mereka duduk makan bersama.

“Jika suasana ini dapat dikekalkan, ia harus diterjemah pula dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) kali ini.

“Saya harap ia bukan sekadar menghormati bulan Ramadan tapi jika perbezaan pendapat seperti ini dapat diraikan dengan baik dan sahsiah terpuji, saya fikir kita serahkan kepada rakyat untuk pilih yang terbaik,” katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY