KUALA LUMPUR, 22 OKT – LAPOR….. Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) mengalami masalah teknikal luar jangka hingga menyebabkan sistem dalam talian syarikat itu tergendala buat sementara waktu.

Mengesahkan perkara itu menerusi laman sosial Twitter rasminya @pos4u, Pos Malaysia memaklumkan ketika menaik taraf sistem, pihaknya mengenal pasti terdapat beberapa sistem dalaman berisiko untuk mengalami masalah teknikal.

Justeru, Pos Malaysia sudah mengambil langkah proaktif dengan menutup beberapa sistem dan aplikasi bagi menangani masalah berkenaan dengan segera.

“Kami dengan ini memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul,” katanya menerusi kenyataan di laman Twitter berkenaan, semalam.

Kelmarin, Pos Malaysia menerusi laman sosial sama memuat naik notis pemberitahuan gangguan di laman sesawangnya berikutan tidak dapat diakses kerana mengalami gangguan teknikal.

Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat wakil syarikat berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berhubung gangguan teknikal dialaminya, semalam.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Azizan Abu Taat, mengesahkan menerima laporan berhubung gangguan teknikal berkenaan.

“Kes itu dirujuk kepada CyberSecurity Malaysia untuk siasatan lanjut bagi menentukan punca sebenar gangguan teknikal dialami syarikat berkenaan,” katanya. – WD MY