KUALA LUMPUR, NOVEMBER 22: POS MALAYSIA… Pos Malaysia Bhd mencatatkan kerugian bersih RM16.58 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2018 berbanding keuntungan bersih RM18.83 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu, di tengah-tengah persekitaran mencabar industri.

Pendapatan diraihnya lebih tinggi RM588.73 juta berbanding RM587.16 juta sebelumnya, khususnya daripada segmen kurier dan penerbangan masing-masing sebanyak RM32.9 juta dan RM7.5 juta, katanya dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Syed Md Najib Syed Md Noor, berkata penguncupan pantas jumlah mel terus menjadi pencetus utama penurunan prestasi kewangan Pos Malaysia.

“Peralihan besar-besaran kepada penyata dan bil digital meningkat, dan ini menyebabkan penurunan besar jumlah mel. Sementara itu, kos perkhidmatan universal terus meningkat berpunca daripada gaji lebih tinggi serta kos operasi lain.

“Kami sedang bekerjasama dengan pihak berkepentingan dalaman dan luaran untuk melaksanakan model perkhidmatan universal mampan bagi menangani isu penurunan jumlah mel,” katanya.-MY WD