PARIT BUNTAR, 24 Mei – Seorang pekerja pemotong rumput terkejut dan melarikan diri selepas mesin pemotong rumput digunakannya terkena sebutir bom lama yang masih aktif di Parit Tiga, Kampung Tebuk Haji Musa, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi tadi, pekerja terbabit Mohd Khairul Abd Rahman 25, sedang melakukan kerja memotong rumput berdekatan parit utama di kawasan itu sebelum mesin berkenaan tersentuh satu objek besi.

Khairul berkata, dia kemudiannya melihat dengan lebih dekat objek berkenaan sebelum mendapati ia adalah bom lama menyebabkannya melarikan diri dan membuat laporan di balai polis berdekatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan penemuan bom itu dan memberitahu bom berkenaan adalah jenis mortar.

Katanya, pihaknya kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak sebelum ia dimusnahkan jam 2.25 petang tadi.
-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY