ISTANBUL, 7 Julai – Terbakar…. Lapangan Terbang Ataturk gempar seketika apabila pengecas mudah alih atau powerbank yang dilempar seorang penumpang terbakar.

Pengendali lapangan terbang berkata, penumpang itu bertindak berkenaan kerana marah dengan larangan membawa masuk peranti elektronik ke dalam pesawat ke United Kingdom.

“Seorang penumpang enggan menyerahkan powerbank apabila menaiki pesawat ke United Kingdom.

“Ketika bertengkar, dia menghempaskan peranti itu dan ia terbakar.

“Tiada siapa cedera dalam kejadian berkenaan,” kata Lapangan Terbang TAV dalam akaun rasmi Twitter.

Ia menambah, peranti elektronik tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam pesawat ke Britain.

Akaun Twitter itu turut menyiarkan siri tweet dalam reaksi kepada penumpang yang berkata beliau melihat ‘letupan kecil dan kebakaran’ dalam kawasan menaiki pesawat ke Britain dan Amerika Syarikat.

Penumpang berkenaan, yang mendakwa berada 10 meter dari lokasi kejadian, berkongsi imej asap di depan pintu pelepasan. – WD MY