KOTA BHARU, 23 FEB – BENTUK….Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar, bertitah Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) bertanggungjawab membentuk diri baginda menjadi seorang pemimpin.

Titahnya, baginda yang bersama dengan PPPM sejak 1969 sudah berkhidmat di bawah lapan Raja Permaisuri Agong dan empat isteri Perdana Menteri.

“Tidak pernah terlintas di fikiran saya akan menjadi Penaung Diraja kerana selama 50 tahun saya bersama PPPM, persatuan ini banyak mendidik dan mengajar saya menjadi pemimpin.

“Bagi saya PPPM adalah satu keluarga yang besar kepada saya dan mereka (ahli) seperti anak serta adik beradik.

“Saya akan terus berkhidmat bagi membawa PPPM ke satu tahap yang dibanggakan di seluruh negara,” titahnya.

Baginda bertitah pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Peringatan Sedunia 2019 Peringkat Kebangsaan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu, malam tadi.

Turut berangkat, Timbalan Yang Dipertua PPPM, Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Titah baginda, PPPM mampu melahirkan seorang pemimpin ke tahap menjadi Perdana Menteri pada masa depan.

“Apabila anda menjadi ahli PPPM, anda mempunyai masa depan yang cerah kerana kita mempunyai ramai kawan di seluruh dunia,” katanya. – WD MY