KUALA LUMPUR, 2 Julai – Ambil Alih……. Pihak Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) memulakan tempoh percubaan mengambil alih pengurusan perkhidmatan feri di Pulau Pinang berkuat kuasa hari ini kata┬áDatuk Seri Liow Tiong Lai.

Liow berkata tempoh masa yang diberikan kepada Prasarana untuk mengambil alih pengurusan perkhidmatan itu bagaimanapun masih belum ditetapkan.

“Hari ini Prasarana sudah mengambil alih pengurusan perkhidmatan feri dalam tempoh percubaan dan kita yakin syarikat itu mempunyai kapasiti dan pengurusan teratur dalam mengendalikan perkhidmatan terbabit.

“Bagaimanapun, kontrak (urus tadbir feri) akan dibincangkan secara teliti kemudian. Prasarana perlu mengkaji dulu serta lihat apa yang boleh dipertingkatkan lagi perkhidmatan itu dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Pelancaran Koleksi Novel Dream of the Red Chamber di Perpustakaan Universiti Malaya (UM) malam tadi.

Dalam perkembangan lain, Tiong Lai berkata, beliau sudah mengarahkan Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) supaya menjalankan kajian terperinci berkaitan insiden dakwaan kontena mengandungi peralatan radar berteknologi tinggi dilaporkan hilang sedangkan ia sudah tiba ke destinasi di Belanda.

Kementerian sedia meneliti dan perketatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diguna pakai pelabuhan di negara ini sekiranya terdapat kelemahan dalam penguatkuasaannya.

“Kita mempunyai antara SOP pelabuhan terbaik di dunia, malah kita juga bekerjasama dengan negara lain dalam mempertingkatkan pelabuhan di negara ini.

“Sekiranya kita dapat mengesan sebarang kelemahan dalam SOP (pelabuhan), kita akan meminta pihak penguatkuasa untuk meneliti perkara itu,” katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris kelmarin yang melaporkan radar tentera berteknologi dari Australia ke Belanda yang dalam transit di PTP, hilang. – WD MY