Prasarana Bersedia Untuk Kali Ketiga Kendali Perkhidmatan Tren Haji Al Mashaaer

0
37

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Operasi…… Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mahu mengekalkan prestasi cemerlang perkhidmatan tren haji Al Mashaaer Al Mugaddasah Metro Southern Line (MMMSL) menjelang operasi musim ketiganya di Makkah mulai 29 Ogos hingga 4 Sept ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata kakitangan yang ditugaskan melaksana perkhidmatan itu telah diingatkan supaya bersedia menghadapi sebarang cabaran bagi memastikan aliran tren sentiasa berjalan lancar.

“Walaupun operasi MMMSL adalah hanya untuk tujuh hari pada musim haji, kerja-kerja penyelenggaraan tren dan persiapan dijalankan sepanjang tahun.

“Ini termasuk pengambilan pekerja Arab Saudi dan memberi latihan kepada mereka yang dijalankan oleh staf Prasarana dan anak-anak syarikatnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tahun ini, Prasarana turut mengambil pesara dan bekas pekerja berpengalaman dalam operasi tren daripada Rapid Rail dan Keretapi Tanah Melayu Berhad serta sokongan guna tenaga daripada Express Rail Link Sdn Bhd untuk melancarkan operasi itu.

 

Kumpulan itu turut menerima lebih 40,000 permohonan bagi kira-kira 6,600 pelbagai jawatan ketika operasi haji khususnya bagi kawalan penumpang di stesen-stesen, kerja-kerja mencuci dan keselamatan.

“Seramai 350,000 pemegang tiket akan menggunakan perkhidmatan MMMSL dan mereka bergerak pada masa sama mengikut ibadat dalam rukun-rukun haji, wukuf di Padang Arafah, bermalam di Mina dan melontar di Jamrah,” kata Azmi.

Selain proses pengambilan dan latihan staf tempatan, katanya warga kerja MMMSL juga sedang giat menjalankan pengujian tren sebelum memulakan siri latihan simulasi pelbagai senario serta latihan integrasi dengan agensi kecemasan awam Arab Saudi pada 23 dan 24 Ogos ini. – WD MY