KUALA LUMPUR, 23 Julai – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana)
meminta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengkaji semula kadar
tambang perkhidmatan tren dibawah kelolaan syarikat itu.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana Datuk Azmi Abdul Aziz,semakan
tersebut wajar dilakukan seiring dengan peningkatan kos penyelenggaraan tren
dan kenaikan kadar tarif elektrik.

“Semakan kadar baharu itu selain dapat mengimbangi kos sedia ada, juga
membolehkan perkhidmatan tren dipertingkat untuk kemudahan orang ramai,”
katanya selepas sesi taklimat Projek Stesen Aliran Ringan (LRT) bersama media
di Stesen Awan Besar di sini, hari ini.

Kali terakhir semakan tambang tren dilakukan adalah pada tahun 2002,
katanya.

Ditanya mengenai kadar baharu yang sepatutnya ditetapkan, beliau berkata ia
bergantung kepada penilaian SPAD.

Sementara itu, Azmi berkata empat stesen baharu LRT aliran Ampang fasa
pertama akan mula beroperasi pada 31 Okt ini merangkumi stesen Awan Besar,
Muhibbah, Alam Sutera dan Kinrara BK 5.

Bagi fasa kedua aliran yang sama pula akan melibatkan tambahan tujuh lagi
stesen yang sedang dalam penbinaaan dan dijangka beroperasi pada Mac 2016.

Selain aliran Ampang, sebanyak 12 stesen baharu bagi laluan Kelana Jaya akan
beroperasi pada Jun 2016 melibatkan laluan sepanjang 17.4 kilometer.-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY