KUALA LUMPUR, 1 Jun – Tutup…. Premis bazar Ramadan di sekitar ibu kota yang menjual makanan kotor dan tercemar bakal berdepan tindakan dihentikan operasi serta merta, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Beliau berkata majikan yang gagal memastikan pekerja asing yang diambil bekerja membuat saringan kesihatan juga akan berdepan tindakan yang sama menerusi operasi yang dijalankan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Sebelum ini saya sudah beri amaran kepada pemilik premis agar menjaga kebersihan premis dan makanan yang dijual kerana ia membabitkan kesihatan pembeli,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Nur Ramadan 2017 peringkat Bandar Tun Razak malam tadi.