MANILA, 3 Mac – BUNUH…..  100 suspek dadah dibunuh sejak Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengarahkan polis menyertai semula ‘perang dadah’ kata seorang pegawai, hari ini.

Ketua Superintenden, John Bulalacao mengesahkan sebaik saja Duterte mengarah pasukan itu menyertai semula perang dadah, 102 suspek dibunuh oleh polis antara 5 Disember 2017 hingga 1 Mac lalu.

Pada Oktober tahun lalu, presiden itu mengumumkan Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina akan menggantikan polis dalam operasi mencegah dadah berikutan bantahan orang awam, termasuk tunjuk perasaan jalanan yang jarang berlaku.

Bagaimanapun, Duterte, 72, berulang kali berkata agensi anti-dadah yang mempunyai 2,000 pegawai tidak akan mampu mengambil tindakan tegas.

Pada masa sama, presiden itu juga mengarahkan polis menyertai semula kempen anti-dadah tanpa membuat sebarang perubahan besar dalam pasukan.

Bulalacao tidak dapat memberi angka perbandingan kematian sebelum 5 Disember tetapi menurut angka yang dikeluarkan secara berasingan oleh kerajaan, 4,021 suspek dadah yang dibunuh antara Jun 2016 hingga 8 Februari tahun ini. – WD MY