MANILA, 10 Feb – TEMBAK….. Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mencabar Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) meneruskan siasatan terhadap dirinya atas dakwaan jenayah kemanusiaan.

Duterte berkata, beliau bersedia berdepan skuad penembak daripada dipenjara.

“Saya akan meminta hak istimewa untuk mengadakan perbincangan. Hanya kami berdua.

“Saya mengalu-alukan. Jika anda dapati saya bersalah, silakan. Cari sebuah negara yang mempunyai skuad penembak dan saya bersedia,” kata Duterte ketika sidang media merujuk kepada pendakwa raya ICC.

Katanya, menahan dirinya semata-mata untuk perbicaraan demi perbicaraan tidak perlu. Malah beliau menggesa pihak terbabit meneruskan siasatan dan hukuman jika beliau didapati bersalah.

Pada masa sama, beliau turut menafikan pernah memberi arahan kepada polis untuk membunuh suspek dadah.

Bagaimanapun, pemimpin yang terkenal lantang menentang tekanan antarabangsa itu mempersoalkan sama ada ICC mempunyai bidang kuasa untuk mendakwanya atas kematian ribuan rakyat Filipina dalam usahanya memerangi dadah.

Pendakwa raya ICC, Fatou Bensouda berkata Khamis lalu, pemeriksaan awal untuk menentukan bidang kuasa dan sama ada jenayah kemanusiaan berlaku sudah dilaksanakan.

Setakat ini, kira-kira 4,000 rakyat Filipina yang kebanyakannya miskin bandar dibunuh polis dalam kempen Duterte yang mengejutkan masyarakat antarabangsa. – WD MY