SEPANG, 7 Okt – Tiba Untuk Lawatan Dua Hari…… Presiden Iran, Dr Hassan Rouhani tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini hari ini untuk memulakan lawatan rasmi sulung dua hari ke Malaysia.

Ini merupakan lawatan pertama beliau ke negara ini sejak dilantik sebagai presiden pada 2013.

Rouhani tiba dengan jet peribadi pada 1.15 tengah hari, diiringi Menteri Hal Ehwal Luar Iran Dr Mohamad Javad Zarif, menteri kabinet kanan dan para pegawai kanan kerajaan.

Ketibaan beliau disambut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan diberi sambutan permaidani merah dan berjalan melintasi kawalan kehormat terdiri daripada Rejimen Keenam Renjer Diraja.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata lawatan Rouhani ke Malaysia adalah sebahagian daripada jelajah beliau ke Asia Tenggara, yang turut merangkumi Vietnam dan Thailand.

Rouhani dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya dan kedua-dua pemimpin dijangka menyaksikan majlis menandatangani Triti Ekstradisi antara Malaysia dan Iran.

Wisma Putra berkata, lawatan rasmi itu bertujuan mengukuhkan lagi hubungan akrab dua hala antara Malaysia dan Iran.

“Kedua-dua pihak dijangka membincangkan serta memperluaskan jaringan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang seperti perdagangan, pelaburan, minyak, tenaga, pendidikan, pembinaaan keupayaan dan pelancongan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut susulan penarikan balik sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Iran sekali lagi menjadi tumpuan syarikat-syarikat Malaysia yang berminat mengeksport barangan dan menawarkan khidmat mereka ke n negara itu yang dianggarkan mempunyai pasaran bernilai US$406 bilion.

Iran merupakan rakan dagang yang penting bagi Malaysia di kalangan negara-negara Timur Tengah, menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata perdagangan dua hala antara Malaysia dan Iran mencatatkan peningkatan sejak awal tahun ini, dengan perdagangan berjumlah antara RM1.03 bilion (US$250.03 juta) antara Januari dan Jun 2016, iaitu peningkatan sebanyak 11.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2015.

Eksport utama Malaysia ke Iran pada tahun 2015 adalah minyak sawit (RM950 juta), kimia dan produk kimia (RM226 juta) dan getah asli mentah (RM222 juta), manakala produk utama Iran yang diimport ke Malaysia adalah produk pertanian (RM61 juta), produk petroleum (RM35 juta) dan baja dan mineral mentah (RM17 juta), menurut kenyataan itu. – WD MY

LEAVE A REPLY