Presiden MyPPP Sedia Berbincang Dengan MIC

0
42

CAMERON HIGHLANDS, 11 Jun – Berbincang…… Tan Sri M. Kayveas berkata MyPPP bersedia mengadakan perbincangan dengan MIC bagi mendapat kata sepakat berhubung kerusi kawasan Parlimen Cameron Highlands.

Beliau berkata perbincangan dengan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S.Subramaniam perlu dilakukan bagi mengelakkan salah faham dan berbalas kenyataan media antara kedua-dua pihak berhubung perkara itu.

 

“Saya difahamkan MIC mahu saya bertanding di kerusi Parlimen lain dan tidak mahu saya datang ke sini lagi kerana mereka mendakwa kerusi Parlimen Cameron Highlands adalah milik MIC.

 

Kalau MIC setuju untuk berbincang, saya tidak ada masalah dan bersikap terbuka. Adalah lebih baik menyelesaikannya secara konsultasi bagi mengelakkan konfrontasi,” katanya.

Kayveas berkata bagaimanapun beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) sama ada MyPPP atau parti komponen BN lain yang akan diberi peluang untuk bertanding di kawasan berkenaan.

 

“Pucuk pimpinan mesti mengkaji dan menerima maklumat di peringkat akar umbi siapa yang sering turun padang berjumpa dengan rakyat dan calon yang boleh menang serta disenangi oleh pengundi bagi memastikan kerusi Parlimen Cameron Highlands milik BN,” kata Kayveas. – WD MY