YALA, 24 MEI – MATI…. Presiden Majlis Pentadbiran Mukim Tha Thong di Daerah Raman, Yala, selatan Thailand mati ditembak ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, selepas berbuka puasa bersama ahli keluarga.

Dalam kejadian kira-kira 7.40 malam semalam, Sama-ae Sama, 55, ditembak ketika menaiki motosikal untuk pulang ke rumah.

Ketua Polis Siasatan Jenayah Wilayah Yala, Kol Pol Suriyan Jantawong, berkata lelaki itu cedera parah dan kemudian meninggal dunia di Hospital Raman.

“Polis menemui lima kesan tembakan di bahagian dada dan dua lagi di bahagian lengan tangan kanan. Polis turut menemui kelongsong peluru dan pistol di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati mangsa ditembak empat individu yang tidak dikenali.

Polis tidak menolak kemungkinan mangsa ditembak kerana masalah politik tempatan, namun polis akan menyiasat punca kejadian, katanya. – WD  MY