PUTRAJAYA, 1 Okt – BAHARU….Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) yang baharu mahu menjadikan Putrajaya sebagai sebuah bandar pintar yang tidak hanya diberi penekanan ‘hardware’ tetapi turut mengambil perhatian terhadap aspek ‘software’.

Menjelaskan mengenai visi berkenaan, Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, beliau mahu program dan aktiviti yang dijalankan adalah relevan dan turut memberi manfaat kepada penduduk di sini.

“Bila kita kata bandar pintar (smart city), kita banyak memberi penekanan kepada ‘hardware’ tetapi saya juga mahu aspek ‘software’ turut diberi penekanan.

“Maksudnya untuk penduduk di Putrajaya, apakah mereka boleh dapat daripada program yang kita laksanakan,” katanya pada sidang media majlis paluan selamat datang Presiden PPj yang baharu di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, antara aduan dan keluh-kesah yang didengarinya seperti isu berkaitan pengangkutan awam dan ruang untuk awam.

Katanya, beliau mengakui adalah satu cabaran apabila pihak berkepentingan mahu Putrajaya dijadikan sebagai sebuah bandar yang ‘hidup dan bernyawa’.

“Oleh kerana masyarakat di Putrajaya ini kebanyakannya bekerja siang dan malam, pada waktu hujung minggu adalah rehat. Jadi apakah istilah rehat kepada mereka?

“Mungkin mereka ingin banyak masa bersama keluarga, jadi apakah program yang sesuai untuk mereka. Itulah perkara yang hendak kita laksanakan.

“Kita tidak mahu mengadakan program yang mereka tidak mahu atau aktiviti tidak boleh disertai yang hanya membabitkan orang luar Putrajaya saja,” katanya.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, beliau akan mengadakan sesi interaksi bersama pihak berkepentingan selain penduduk Putrajaya malah, beliau juga akan bertemu dengan bekas Presiden PPj.

“Saya ucapkan terima kasih kepada beliau dan saya yakin, beliau banyak membawa perubahan dan kemajuan di Putrajaya jadi, saya ingin ia diteruskan.

“Justeru, saya akan berbincang dengan beliau dan belajar untuk melihat apa perkara lain yang boleh saya bawa di sini,” katanya.

Aminuddin, 50, menjalankan tugas sebagai Presiden PPj berkuat kuasa hari ini menggantikan Datuk Seri Hasim Ismail yang tamat perkhidmatannya pada 31 Julai lalu.

Sebelum ini, Aminuddin berkhidmat di Kementerian Kewangan sebagai Pengarah Unit Strategi Nasional bermula 2015. – WD MY