SHANNON, 7 JUN – PERANG…..Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam untuk melaksanakan tarif tambahan terhadap sekurang-kurangnya AS$300 bilion (RM1.25 trilion) import barangan China, hari ini.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan China dan Mexico mahu mencapai persetujuan dalam pertikaian perdagangan dengan AS.

Walaupun Trump memaklumkan rundingan dengan China sedang berlangsung, tiada pertemuan antara kedua-dua pihak, sejak 10 Mei lalu ketika beliau meningkatkan tarif kepada 25 peratus membabitkan AS$200 bilion (RM831.32 bilion) barangan China sehingga menyebabkan Beijing bertindak balas.

“Banyak perkara menarik berlaku dalam rundingan kita dengan China. Kita lihat apa yang akan berlaku, saya mungkin naik kepada sekurang-kurangnya AS$300 bilion (RM1.25 trilion) dan ia akan dilakukan pada masa sesuai.

“Namun, saya merasakan China mahu mencapai perjanjian dan Mexico pula amat mahukannya,” kata Trump sebelum menaiki pesawat Air Force One di lapangan terbang Shannon, Ireland.

Sementara itu di Beijing, Kementerian Perdagangan China memberikan kenyataan bertentangan.

“Jika AS sengaja meningkatkan ketegangan, kita akan melawan habis-habisan. China tidak mahu perang dagangan, namun kita tidak takut.

“Jika AS meningkatkan ketegangan dagangan, kami akan melaksanakan tindakan balas untuk menjamin kepentingan China dan rakyatnya,” kata jurucakap kementerian itu, Gao Feng. – WD MY