PANMUNJOM, 1 JULAI – JEJAK…. Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menjadi pemimpin pertama negara itu menjejakkan kaki ke Korea Utara hari ini, apabila bertemu Kim Jong-un di Zon Bebas Tentera (DMZ), terletak di sempadan dua Korea.

Dalam pertemuan berkenaan, Trump dan Jong-un bersetuju menyambung semula rundingan nuklear yang terhenti sejak Februari lalu.

Kedua-dua pemimpin itu berjabat tangan dan menyuarakan harapan untuk kedamaian, ketika bertemu kali ketiga dalam tempoh setahun.

Trump diiringi Jong-un menyeberang sempadan Korea Utara secara seketika sebelum kembali ke Korea Selatan dan menyertai Presiden Moon Jae-in untuk pertemuan singkat.

Kemudian, Trump dan Jong-un mengadakan mesyuarat tertutup selama hampir sejam.

“Ia mesyuarat yang bagus, amat kukuh. Kami bersetuju berbincang mengenai perinciannya. Kita lihat apa yang akan berlaku,” kata Trump. – WD MY