HANOI, 27 Feb – TIBA…Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendarat di ibu negara Vietnam, hampir jam 9.00 malam waktu tempatan tadi, sebelum persidangan kedua dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, hari ini.

Difahamkan, persidangan kali ini akan tertumpu mengenai bagaimana untuk melaksanakan janji Korea Utara menghapuskan program senjata nuklear dan peluru berpandunya.

Sementara itu, Jong Un tiba di Vietnam, awal hari sama, dengan menaiki kereta api dari Pyongyang merentasi China dan menghabiskan perjalanan terakhir dari sempadan Vietnam ke Hanoi menaiki kereta.

Kedua-dua pemimpin itu akan mengadakan perbincangan tertutup, lewat esok dan diikuti sesi makan malam. Mereka hanya akan ditemani dua tetamu dan beberapa jurubahasa, kata jurucakap Rumah Putih, Sarah Sanders.

Katanya, mereka akan bertemu sekali lagi, lusa.

Selain kedua-dua peminpin itu, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo juga tiba, hari ini, dan bertemu dengan Menteri Luar Vietnam, Pham Binh Minh untuk mengadakan perbincangan.

“Ia adalah persidangan yang besar,” kata Trump, sebelum menaiki pesawat Air Force One ke Vietnam. – WD MY