ISTANBUL, 21 Okt – PUJIAN…Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha berterusan Malaysia untuk membantu pelarian Rohingya yang kini berlindung di Bangladesh mendapat pujian dan penghargaan daripada negara-negara anggota Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) khususnya oleh Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

Beliau berkata malahan Erdogan, selaku Pengerusi Sidang Kemuncak D-8 kesembilan yang berakhir di sini semalam, turut secara rasmi menyatakan komitmen untuk membantu pelarian Rohingya selain menekankan keperluan kepada negara Islam lain termasuk anggota D-8 supaya mengikuti jejak Malaysia untuk membantu dan menyelesaikan krisis etnik Rohingya itu.

“Presiden Erdogan telah mengulas panjang dalam ucapannya berhubung perkara ini dan beliau amat menghargai usaha yang dibuat pihak Malaysia dalam memberikan bantuan kemanusiaan kepada etnik Rohingya yang terpaksa meninggalkan kampung halaman.

“Beliau (Erdogan) juga telah memaklumkan bahawa isteri dan anak beliau turut telah mengadakan lawatan ke Kem Cox’s Bazar Bangladesh dan ini telah memperlihatkan bukan sahaja komitmen secara rasmi beliau tetapi komitmen peribadi beliau untuk membantu,” katanya kepada media hari ini.

Ditanya mengenai langkah selanjutnya selepas ini, Ahmad Zahid mengakui usaha membantu masyarakat Rohingya itu mempunyai ranjau, bagaimanapun penyelesaian secara holistik tetap perlu dilakukan.

Katanya antara langkah awal adalah menyarankan supaya masyarakat antarabangsa memberikan tekanan kepada kerajaan Myanmar bagi membolehkan pelarian Rohingya itu kembali ke kampung halaman masing-masing.

Ahmad Zahid berkata dalam perbincangan tidak rasmi bersama Erdogan dan Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla di sini, beliau (Ahmad Zahid) turut menyarankan supaya bagi merealisasikan perkara itu satu pasukan pemantau antarabangsa perlu dibentuk bagi menjamin keselamatan para pelarian itu.

Menurutnya cadangan itu yang masih terlalu awal untuk dijadikan satu dasar akan dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman untuk dibawa ke kabinet, dan selepas dipersetujui akan dapat disampaikan ke saluran antarabangsa berkaitan. – WD MY